PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak membenarkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata larangan yang akan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November itu termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya.

“Susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan PRN Melaka pada 20 November, KKM menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial berkaitan dengan pilihan raya yang akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul (mass gathering) dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, larangan itu juga selaras peruntukan bawah subperaturan 10(1) Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang dibuat bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, aktiviti perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

“Larangan ini juga selari dengan senarai aktiviti tidak dibenarkan dalam Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 4 yang terkini iaitu ‘apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan’.

“Sebarang pelanggaran menyebabkan individu, penganjur atau organisasi boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah, sekiranya disabitkan kesalahan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),”katanya,

Katanya, perhimpunan atau majlis sosial tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

SPR menetapkan 20 November sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply