Adam Lee dan Sweet Qismina bertunang selepas tiga tahun bercinta.

Oleh Khadijah Ibrahim

SEMPENA sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-24 tahun pada 24 Oktober 2021, pelakon Sweet Qismina menjadikan hari tersebut lebih bermakna dengan melangsungkan majlis pertunangan dengan kekasih hati, Adam Lee.

Majlis yang diadakan sebelah petang, di sebuah rumah persendirian di Ampang yang hanya dihadiri 20 orang tetamu dalam kalangan ahli keluarga masing-masing tetap meriah meskipun mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, rancangan untuk mengikat tali pertunangan itu sudah lama dirancang dan kebetulan majlis diadakan ketika masing-masing sibuk ‘berkempen’ untuk Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

“Ini bukan gimik dan juga bukan babak penggambaran drama, tapi memang kami betul-betul bertunang. Kebetulan ia terjadi ketika perang kempen ABPBH 34 sedang berlangsung. Ia jauh sekali gimik, tapi sebenarnya rezeki.

Bukan gimik tapi Adam Lee dan Sweet Qismina benar-benar bertunang. Foto: @blackpepperproduction

“Lagipun peminat kami sudah lama menanti ada ikatan terjalin. Begitu juga peminat dari Indonesia yang sering tanya ‘kapan’ (bila) mahu ada ikatan sah. Jadi ini sebagai mukadimah sebelum kami melangkah ke fasa seterusnya,” katanya yang turut memuat naik foto pertunangan di Instagram.

Sweet yang merupakan calon Top 5 kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular bersama Adam dalam drama Bidadari Salju itu berkata, mereka mengikat tali pertunangan selama setahun.

Pasangan sama cantik, sama sepadan bagai pinag dibelah dua pada hari pertunangan mereka.

Pada majlis tersebut yang bertemakan putih dan songket, Sweet menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Adam.

“Perancangan atau keputusan nak kahwin bila belum ada lagi. Kita selesaikan yang ini (bertunang) dulu.

“Lagipun, sektor kreatif sudah kembali aktif selepas kerajaan melonggarkan SOP. Jadi ini juga masa untuk kami bekerja semula,” katanya.

Sweet dan Adam mula rapat selepas beliau meminta Adam menemaninya ke ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan kebetulan mereka juga baru selesai penggambaran drama Adam Chempaka.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply