DI awal kemunculannya wajah M. Sani dikatakan mirip pelakon Bollywood popular pada tahun 1970-an, Amitabh Bachchan.
Oleh MUZLINA ABU BAKAR
Foto/video: SYED YUSOF WAFA

BARU-BARU ini ketika menghadiri satu undangan makan tengah hari di Restoran Rebung, Jalan Tanglin, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, sewaktu melalui satu bilik khas berwarna oren, saya terpandang seseorang yang cukup dikenali suatu ketika dahulu.

Walaupun penampilannya dari segi wajah dan sosok tubuh sudah berubah kelihatan semakin berisi mungkin kerana faktor usia namun saya masih kenal akan wajah itu.

Betapa tidak kerana suatu waktu dahulu lagu “Rindu Hatiku Tidak Terkira” nyanyiannya sering berkumandang di radio dan menjadikannya salah seorang penyanyi yang cukup popular dan diminati ramai pada awal tahun 1970-an.

PENYANYI M. Sani…hari ini.

Penyanyi yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Md. Sani Abu Yamin, 74, atau lebih dikenali M. Sani. Beliau mula bergelar penyanyi setelah dinobatkan sebagai Johan ‘Bintang RTM 1971’ pada usia 24 tahun.

Menyingkap kembali perjalanan seni M. Sani, dalam pertandingan akhir Bintang RTM yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya pada 27 September 1971, beliau yang menyanyikan lagu “Jauh Jauh” (penyanyi asal Zainal Abu) bukan sahaja menjuarai pertandingan berkenaan malah dengan kemenangan itu telah menjadikannya salah seorang bintang dan artis rakaman EMI.

Kelunakan suaranya menyanyikan lagu “Rindu Hatiku Tidak Terkira” yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Rubiah dan merupakan runut bunyi filem “Juwita” terbitan tahun 1951 telah meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi popular ketika itu.

SELAIN merakamkan suara dengan EMI (kiri), M. Sani juga pernah muncul sebagai artis rakaman Warnada (kanan).

Setelah melihat beliau selesai menjamu selera, saya yang memerhatikannya dari luar bilik khas itu memberanikan diri mendekati penyanyi berkenaan.

Walaupun pada mulanya penyanyi bermata sayu yang dikatakan pada zaman muda wajahnya mirip Amitabh Bachchan, pelakon Bollywood popular pada tahun 1970-an, enggan wawancara, tetapi akhirnya beliau mengalah sambil berkata;

“Siapalah saya untuk diinterbiu. Tiada cerita menarik tentang saya untuk dikongsi,” itulah kata-katanya ketika saya meminta izin untuk diwawancara dan menulis tentang dirinya.

Begitulah M. Sani, yang sejak dahulu dikatakan memang sukar didekati apalagi untuk diwawancara kerana beliau lebih suka bersikap ‘low profile’ kerana ingin menjauhkan diri daripada segala publisiti.

Tetapi apabila sudah bergelar artis walaupun telah sekian lama menyepikan diri, mahu tidak mahu hakikat yang harus diterima beliau masih tetap dikenali.

COVER album duet M. Sani dengan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Menjejaki perjalanan seninya, M. Sani yang pernah menjadi artis rakaman Syarikat EMI selepas menjuarai ‘Bintang RTM 1971’ dengan hadiah wang tunai RM1,000 dan piala pusingan, pernah muncul dengan album studio “Kerna Senyum Ku Terpikat” diikuti dengan tiga EP iaitu “Rindu Hatiku Tidak Terkira, Hidup Hanya Sementara dan Hujan Malam.”

M. Sani juga pernah muncul dengan album duet “Sedangkan Lidah Lagi Tergigit” bersama Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan walaupun jarang diberi publisiti tetapi lagu nyanyiannya tetap diminati.

Apabila ditanya ke mana beliau menghilang sekian lama, M. Sani yang ditemani sahabatnya, Azmi Zahari memberitahu;

“Seperti saya katakan tadi tiada apa cerita menarik yang boleh dikongsikan tentang saya. Saya lebih suka menjalani kehidupan seperti manusia biasa di samping sesekali memenuhi undangan menyanyi untuk sesuatu majlis.

DARI Kiri: M. Sani bersama sahabatnya, Osman Abdullah dan Azmi Zahari ketika ditemui di Restoran Rebung, Kuala Lumpur.

“Pada usia begini apalagi yang saya mahu cari selain mendekatkan diri kepada Allah. Sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan dan dalam menjalani kehidupan hari tua, saya lebih senang menjauhkan diri daripada sebarang publisiti.”

Menurut M. Sani, beliau reda dengan perjalanan hidupnya hari ini kerana yakin sebagai manusia kita hanya merancang tetapi semua yang terjadi adalah ketentuan Allah.

“Sebenarnya sejak mula menceburi bidang seni saya cuba mengelak daripada menjadi artis popular kerana saya tidak mahu dan takut jika terlalu disanjung. Hasrat saya menjadi artis hanya untuk mencari rezeki dengan bakat anugerah-Nya.

“Berpegang pada itulah, saya cuba menjauhkan diri daripada wartawan sejak dahulu lagi bukan kerana benci tetapi memang tidak banyak cerita menarik untuk saya kongsikan dengan para peminat.

“Apalagi dalam usia begini saya hanya mahu mencari ketenangan hidup dan keredaan Allah.

“Bukan nak beritahu saya ini alim tetapi dengan cara begitu saya bersyukur dan menerima apa juga kada’ dan kadar yang Allah tentukan,” luah M. Sani, ayah kepada lapan orang anak (daripada dua perkahwinan) dan datuk kepada 12 orang cucu.

Menurut M. Sani, setelah sekian lama menyepikan diri dari dunia seni dan mendalami agama tanpa beliau sedari sedikit demi sedikit rezeki beliau dalam bidang seni masih ada.

“Saya masih diundang menyanyi dalam sesuatu majlis dan juga dipanggil menjadi juri dalam satu pertandingan kecil. Alhamdulillah di atas rezeki anugerah-Nya.

“Bukan itu sahaja, malah saya tidak menduga dengan gaya kehidupan saya lebih mendekatkan diri kepada Allah saya berjaya mencipta 20 buah lagu dengan liriknya berunsur ketuhanan, nasihat dan kerohanian.”

M. Sani memberitahu lagu-lagu ciptaannya itu tanpa ‘score’ tetapi mengekalkan irama langgam seperti yang pernah dinyanyikan dahulu.

Salah satu lagu dan lirik ciptaannya yang meninggalkan kesan di hatinya adalah “Di Kamar Sepi” yang menceritakan tentang alam barzakh dan mampu memberi keinsafan kepada siapa sahaja yang mendengarnya. Lagu tersebut beliau cipta pada tahun 2000.

“Insyaa-Allah jika ada rezeki saya akan merakamkan lagu itu dan yang pasti komposer pilihan saya ialah Datuk Seri Ahmad Nawab yang merupakan kawan lama dan orang yang membawa saya ke dunia seni.

“Saya suka lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab kerana ada jiwa seperti sentuhan Allahyarham P. Ramlee. Cuba hayati karya hebat insan berbakat ini, ia tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas,” luah M. Sani mengapa beliau tetap memilih Ahmad Nawab.

Menyentuh mengenai bidang lakonan, M. Sani yang pernah muncul dalam dua buah filem iaitu “Si Badul” (1978) arahan Allahyarham Seniman Datuk Aziz Sattar dan “Toyol” (1980) arahan Allahyarham Seniman Malek Selamat, beliau hanya berkata;

“Cukuplah dengan dua filem itu sahaja kerana minat dan jiwa saya kini mendekati agama dan jika ada rezeki saya hanya mahu menyanyi lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan, nasihat dan kerohanian.”

RINDU HATIKU TIDAK TERKIRA – P. RAMLEE

Lirik Lagu: P. Ramlee

Rindu hatiku tidak terkira}
Terkenang orang yang jauh } 2X
Yang selalu bermain di mata }
Ibarat kumbang rindukan bunga} 2X

Bila ku pandang bulan di kalang
Parasmu cantik gemilang
Makin lama jelas kelihatan
Senyumanmu menawan
Bilakah masa kita berjumpa }
Memadukan asmara } 2X
Yang senantiasa bergelora }
Menyala-nyala di dalam dada} 2X

Tak boleh ku lupa sekejap mata
Ingin pula kita berkata
Tempat berlindung dan bergantung hati
Ku puja sampai mati

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply