Oleh Ahmad Abd Hamid

PEGUAM kanan, Haniff Khatri Abdulla, mencadangkan Melaka dijadikan kawasan larangan atau ‘out of bounds’. Tidak boleh keluar masuk negeri itu pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN), dari hari penamaan calon pada 8 November sehingga pembuangan undi dan pengumuman keputusan pada 20 November.

Menurut Haniff Khatri, ini bertujuan menghalang warga negeri lain menyerbu Melaka. Matlamatnya untuk menyekat ahli politik dan jentera politik serta para pekerjanya bertumpu untuk berkampung di Melaka. Dengan itu dapatlah dielakkan kesesakan manusia dan lalu lintas yang mengundang Covid-19.

Tidak kira siapa, sekat daripada menghampiri Melaka, kecuali pengundi berdaftar yang balik untuk membuang undi. Tiada kompromi dalam hal ini.

Satu cadangan yang logik dan praktikal sebenarnya sekiranya tidak ingin apa yang berlaku pada PRN Sabah berulang di Melaka. Risiko mengadakan pilihan raya ketika Covid-19 memang tinggi. Angka jangkitan kini masih mencatatkan jumlah lebih 5,000 kes sehari.

Hakikat sudah lebih 90 peratus penduduk dewasa di negara ini mendapat suntikan lengkap dua dos vaksin Covid-19, melepasi sasaran imuniti kelompok atau herd community, bukan jaminan Covid-19 tidak boleh merebak.

Dalam suasana PRN yang pastinya menyaksikan ramai pemimpin politik keluar masuk Melaka untuk berkempen, meningkatkan risiko jangkitan. Ini ditambah dengan kehadiran ramai untuk mendengar kempen dan ceramah. Dalam keadaan begini, prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal kerap kali diabaikan.

Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku pada PRN Sabah. Ketika ia diadakan, gelombang Covid-19 sedang mengganas di negeri itu. Kehadiran ahli politik dari Semenanjung keluar masuk ke negeri itu berkempen, serta kehadiran orang ramai pada setiap kempen, menambah parah keadaan.

Dianggarkan di antara hari membuang undi pada 20 September 2020 sehingga penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 12 Oktober bagi mengekang jangkitan Covid-19, kadar jangkitan mencecah sehingga 70 peratus.

Nampaknya ini tidak dijadikan pengajaran oleh ahli politik yang ghairah mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan PRN diadakan. Banyak pihak memandang ini sebagai tidak perlu. Sebaliknya pihak yang mempunyai majoriti kerusi DUN wajar diberi peluang mentadbir.

Dalam keadaan negara masih berdepan dengan Covid-19, tumpuan mesti diberi kepada membangunkan ekonomi dan menyejahterakan rakyat. PRN tidak harus ada dalam agenda.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari, telah pun memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat 22 Oktober bagi memohon kebenaran mahkamah untuk mencabar pembubaran DUN Melaka.

Jika PRN terpaksa diadakan juga, cadangan ‘menutup’ Melaka sepanjang tempuh PRN dilihat  langkah terbaik bagi menjamin kebarangkalian jangkitan Covid-19 dapat diminimumkan dan sejarah Sabah tidak berulang.

Sehubungan itu kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan mulai 25 Oktober hingga 27 November memang tepat.  Ini termasuk majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Tujuannya pastilah bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan mendadak Covid-19. Ini adalah satu tindakan pencegahan sebelum kejadian atas jangkaan majlis sosial bakal banyak diadakan sempena PRN Melaka. Kerana itu wajar dicegah sebelum terjadi.

Sejajar dengan kenyataan Khairy ini, gerak kerja PRN Melaka biarlah dilakukan dalam suasana paling ‘sunyi’ yang mungkin. Misalnya penamaan calon hanya perlu dihadiri oleh calon, pencadang dan pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sahaja. Tiada rombongan atau perarakan beramai-ramai ke tempat penamaan calon.

Selain itu kempen juga tidak harus dibenarkan secara bersemuka atau pintu ke pintu dengan alternatif mengadakannya secara maya. Begitu juga dengan pengumuman keputusan. Semua ini bertujuan mengelakkan perhimpunan ramai secara fizikal.

Sama ada cadangan ini boleh dilaksanakan terserah kepada kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Namun sebaik-baiknya ialah belajar daripada sejarah. Jika sudah terhantuk di Sabah tetapi masih tidak mahu tengadah di Melaka, bersedialah menganggung akibatnya.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply