Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan Pandora Papers yang didakwa turut melibatkan menteri dan juga ahli politik negara akan dibentang di Parlimen selepas selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi ketika membuat jaminan itu berkata, kerajaan akan tetap menjalankan siasatan ke atas itu meskipun pendedahan itu dilakukan pada tahun 2012.

Beliau berkata, agensi terlibat termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah diberikan arahan untuk menjalankan siasatan, lapor Awani.

“Kita akan bincang satu tarikh yang sesuai untuk membawa hasil siasatan ke Parlimen selepas keputusan akhir diperolehi,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jaminan kerajaan dalam menyiasat pendedahan Pandora Papers.

Malah Wan Junaidi menegaskan, mereka yang terlibat dalam laporan Pandora Papers juga akan diberikan peluang untuk memberi penjelasan dalam sidang Parlimen nanti.

Sementara itu, beliau menjelaskan, penggunaan akaun luar pesisir bukanlah suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah mana-mana individu atau syarikat.

“Dalam pendedahan Pandora Papers, International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) hanya menyenaraikan siapa yang pernah atau sedang memiliki saham atau menjadi pengarah dalam syarikat di luar negara atau ‘offshore’,” kata beliau.

Beliau menjelaskan, orang ramai seringkali keliru dengan ICIJ Global Financial Integrity (GFI), sedangkan kedua-dua organisasi adalah berbeza meskipun berpusat di Washington.

Katanya, GFI merupakan organisasi yang terdiri daripada kumpulan penganalis ekonomi yang membuat pendedahan berkaitan aliran keluar wang haram dengan aktiviti ‘trade mispricing’ oleh syarikat-syarikat pengimport atau pengeksport dan multinasional (MNC) untuk mengelakkan cukai.

“Laporan GFI mengenai aliran keluar kewangan haram bagi Malaysia adalah terlebih nyata (overstated) kerana tidak mengambil kira ‘Rotterdam effect’ serta menganggap ‘errors and omissions’, yang timbul akibat percanggahan dalam proses kompilasi data sebagai aliran kewangan haram.

“Justeru, mengaitkan pendedahan yang dibuat oleh ICIJ dan laporan yang dikeluarkan oleh GFI adalah sesuatu yang kurang tepat dan boleh mengelirukan kerana kedua-duanya merupakan organisasi yang berbeza,” katanya.

Wan Junaidi berkata, dalam hal ini, kerajaan tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply