GAMBAR: NSTP.

Oleh Zainal AS Rashid

BEKAS Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengesahkan terlebih dahulu sama ada dakwaan yang tular dalam media sosial kononnya terdapat pegawai kanan polis terbabit dalam salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah sebelum mengambil tindakan.

Dakwaan tersebut dimuat naik oleh pengguna akaun Twitter @edisi_siasatmy.

Menurut Musa sekiranya didapati ‘pendedahan ‘ itu palsu mereka yang dikaitkan boleh mengambil tindakan undang-undang.

“Dari sudut perundangan, mereka boleh mengambil tindakan saman jika maklumat itu palsu, namun kalau benar semua bukti perlu dikumpulkan untuk menentukan sama ada jenayah itu benar berlaku atau sebaliknya,” katanya.

Musa memberitahu media demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Alam Damai di Kuala Lumpur pada Isnin (25 Okt).

“Dalam hal ini, semua sumber maklumat itu perlu disiasat benar atau palsu. Selain itu, pengguna Twitter itu juga ada memberi kenyataan kes yang sama turut melibatkan pengurusan tertinggi sebuah badan pencegah rasuah,” katanya.

‘Pendedahan’ yang ditularkan baru-baru ini di media sosial itu turut mendakwa bahawa pengurusan tertinggi sebuah badan pencegahan rasuah melindungi sindiket jenayah serta terlibat dengan rasuah.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply