Oleh Ruhanie Ahmad

PILIHAN Raya Negeri (PRN) di Melaka kali ini adalah proses demokrasi yang tidak terjadual. Ia diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik yang telah melanda kerajaan negerinya.

Tetapi, ada dongeng yang mengatakan PRN ini juga kononnya untuk menudung bangkai gajah yang sedang mengancam keselamatan kerajaan dan mencemari kesejahteraan rakyat Melaka.

Lantas, adakah pengundi Melaka dikerah keluar pada 20 November 2021 ini hanya untuk menyelesaikan kemelut kerajaan negerinya atau untuk menghapuskan pencemaran bangkai gajah yang dicetuskan segelintir pihak tertentu?

Persoalan ini mempunyai kesan yang sangat strategik dan luas kesannya jika pengundi Melaka mahu menyelesaikan dua masalah di atas secara sekali gus menerusi PRN tersebut.

Kedua-duanya perlu diperincikan secara bijaksana jika mereka berusaha menyelamatkan kerajaan negeri Melaka dan mencegah pencemaran bangkai gajah dari terus berleluasa selepas PRN berkenaan.

Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka menamakan calon mereka pada 8 November 2021 untuk bertempur dalam 28 medan PRN Melaka.

Mereka akan mempamerkan jati diri politik dan ideologi masing-masing dalam pertarungan yang dijangkakan lebih daripada tiga penjuru.

Jati diri politik adalah ciri-ciri utama yang akan mencorakkan dasar dan pendekatan pembinaan negara (nation-building) berasaskan hakikat Malaysia sebagai negara berbilang keturunan dan agama.

Ideologi pula merupakan iltizam yang akan mengukuhkan pembentukan dasar dan pendekatan di atas supaya selaras atau bercanggah dengan hakikat Peribumi selaku anak watan dan Islam sebagai agama Persekutuan.

BN dan PN mempunyai jati diri politik berteraskan Peribumi-Islam dan Ideologi nasionalisme Peribumi-Islam berlandaskan semangat kontrak sosial serta Perlembagaan Persekutuan.

Ini menunjukkan jati diri politik dan ideologi BN pimpinan UMNO dan jati diri politik serta ideologi PN pimpinan Bersatu adalah serupa dan sukar dibezakan oleh pengundi Peribumi-Islam di Melaka.

Namun BN dan PN mempunyai satu perbezaan yang nyata dari sudut perjuangan memerangi amalan kronisme, salah guna kuasa dan rasuah yang sangat dikutuk rakyat di abad ke-21.

UMNO selaku induk kepada BN didakwa oleh segolongan pengundi Malaysia dalam PRU14 sebagai tidak menunjukkan komitmen mendalam untuk membanteras kronisme, salah guna kuasa dan rasuah. Dakwaan inilah juga yang didongengkan sebagai antara punca kewujudan bangkai gajah di Melaka pada ketika ini.

Betul atau tidaknya dakwaan di atas memang sukar untuk dipastikan atau dinafikan. Tetapi, dakwaan inilah yang dikatakan menjadi punca utama tumbangnya BN dalam PRU14.

Bersatu selaku induk PN pula memaktubkan dalam perlembagaannya mengenai perjuangan membanteras kronisme, salah guna kuasa dan rasuah. Ketegasan ini dikatakan amat dibenci oleh segelintir individu yang bergelumang dengan bangkai gajah.

Tetapi, ketegasan inilah yang dipercayai menjadi antara ciri-ciri utama yang akan membezakan PN dan BN dalam PRN Melaka.

PH pula mempunyai gabungan jati diri politik dan ideologi berasaskan sosialisme-demokratik, kepelbagaian kaum dan Islam. Tetapi, walaupun PH menjunjung Perlembagaan Persekutuan, ia dikatakan sebagai meminggirkan kontrak sosial yang dihayati BN dan PN.

PH juga mempunyai komitmen jelas dalam memerangi kronisme, salah guna kuasa dan rasuah. Namun, jati diri politik dan ideologi PH kurang serasi dengan jati diri serta ideologi BN dan PN. Ini sebabnya Bersatu selaku induk PN keluar daripada gabungan PH.

Dengan ini, faktor perbezaan jati diri politik dan ideologi di atas dijangka berperanan penting dalam menentukan corak pengundian dalam PRN Melaka.

BN dan PN yang mempunyai jati diri dan ideologi yang serupa, akan dibezakan dari sudut komitmen masing-masing terhadap penghapusan kronisme, salah guna kuasa dan rasuah.

BN dan PN pula dibezakan daripada PH menerusi sudut jati diri politik kedua-duanya yang mendaulatkan kuasa Peribumi-Muslim di Malaysia yang majmuk.

Perbezaan di atas menunjukkan BN mempunyai jati diri politik yang serasi dengan tuntutan Peribumi-Islam, tetapi kurang jelas mengenai komitmennya untuk memerangi kronisme, salah guna kuasa dan rasuah yang dibenci umat di abad ke-21.

PN pula mempunyai jati diri politik serta ideologi yang serasi dengan tuntutan Peribumi-Islam Malaysia serta mempunyai komitmen mendalam terhadap penghapusan kronisme, salah guna kuasa dan rasuah yang sangat ditakuti pihak yang mencetuskan fenomena bangkai gajah di Melaka.

Lantaran itu, PH hanya mempunyai kekuatan dari segi pembanterasan kronisme, salah guna kuasa dan rasuah, tetapi tidak mempunyai jati diri politik dan ideologi yang serasi dengan tuntutan Peribumi-Islam di Malaysia yang majmuk.

Ini mencerminkan dasar dan pendekatan pembinaan negara yang diperjuangkan oleh PH mungkin meminggirkan Peribumi-Islam selaku anak watan dan penduduk majoriti Malaysia; serta Islam selaku agama Persekutuan.

PH juga mungkin tidak akan menggandingkan dasar serta pendekatan pembinaan negara dengan semangat kontrak sosial selaku sendi penting kepada Perlembagaan Persekutuan.

Permasalahan jati diri politik dan ideologi di atas akan menyebabkan pengundi Peribumi-Islam di Melaka terpaksa membuat pilihan yang sukar mengenai BN dan PN disebabkan oleh kekangan berikut.

Pertama, BN dan PN yang berindukkan jati diri politik dan ideologi yang hampir serupa terpaksa bertarung sesama sendiri, dan pada waktu yang sama, terpaksa menentang PH secara tiga penjuru di setiap medan tempur.

Kedua, pertarungan tiga penjuru antara BN-PN-PH ini pula mungkin menjadi empat atau lima penjuru jika muncul kumpulan lain dari kalangan Peribumi-Islam atau sebaliknya.

Ketiga, jika sokongan pengundi Peribumi-Islam Melaka kepada BN dan PN memaksa mereka tidak keluar mengundi, siapakah yang akan untung atau rugi; dan siapakah yang akan mengaut faedah atau ditimpa padah menerusi PRN Melaka?

Maka, persoalan mengenai untung dan rugi, atau mengenai faedah dan padah ini juga harus menjadi asas kepada penggunaan kuasa undi Peribumi-Islam dalam PRN Melaka.

Perhitungan ini memang amat berat. Tetapi, ia mesti diputuskan. Ini kerana BN dan PN akan bertempur sesama sendiri dan pada waktu yang sama, terpaksa bertempur menentang PH serta pihak keempat dan kelima.

Maka, di sinilah pentingnya pengundi Peribumi-Islam Melaka perlu keluar mengundi dan wajar bijaksana dalam memperincikan jati diri politik serta ideologi BN dan PN, serta komitmennya mengenai kronisme, salah guna kuasa dan rasuah.

Maksudnya, pengundi Peribumi-Islam dalam PRN di Melaka kali ini wajar memilih calon sesebuah parti berdasarkan jati diri politik, ideologi dan komitmen perjuangan parti mereka untuk memansuhkan amalan kroni, salah guna kuasa dan rasuah.

Mereka juga wajar memastikan agar kuasa kerajaan Melaka yang muncul dari PRN kali ini mesti memihak kepada Peribumi-Islam, dan kuasa yang tidak lagi bersekongkol dengan mereka yang cuba menudung bangkai gajah di negeri tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply