SKUAD B22 Malaysia mencapai kemenangan sulung Kelayakan Piala Asia B23 AFC, menundukkan Laos 1-0. - Foto FAM

NUR Azfar Fikri mengotakan matlamat skuad Bawah 22 Tahun Malaysia untuk mencipta kemenangan sulung Kelayakan Piala Asia Bawah 23 AFC 2021 di Ulaanbaatar, Mongolia, hari ini.

Tolakan masuk kaki kanannya yang menyambung umpanan Quentin Cheng dari sebelah kanan pada minit ke-68 sudah memadai untuk menjinakkan lawan liat, Laos 1-0 dalam perlawanan Kumpulan J di Stadium MFF itu.

Luqman Hakim Shamsudin, penyerang yang berpangkalan di kelab Belgium, KV Kortrijk, turut terbabit dalam merencana gerakan awal gol itu dengan hantaran kepada Quentin, pemain gantian.

Dia turut hampir memecahkan kebuntuan dengan rembatan kaki kanan pada minit ke-36 jika penjaga gol Laos, Solasak Thilavong tidak sempat menepisnya dan terjahan susulan Azam Azmi Murad tidak tersasar jauh ke kiri.

Begitu juga sepakan percuma oleh Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-50 yang sedikit melewati palang gol lawan selepas Umar Hakeem Suhar Rezwan dijatuhkan tidak jauh dari kotak penalti.

Minit ke-87 pula menyaksikan Luqman yang secara solo sudah melepasi Solasak ke sebelah kiri, hanya menyepak liar melintasi gawang Laos yang sudah tidak berpenghuni.

Skuad belia negara kendalian Bradley Maloney itu kini menerajui Kumpulan J selepas tuan rumah mengikat Thailand 1-1 untuk berkongsi satu mata dalam satu lagi perlawanan terdahulu.

NUR Azfar Fikri pantas membaca umpanan Quentin Cheng untuk gol kemenangan Malaysia. – Foto FAM

Barisan B22 negara bakal berdepan Mongolia pada Khamis ini untuk terus memburu keputusan positif dalam mencerahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia B23 di Uzbekistan, Jun tahun depan.

Kata Maloney dalam rakaman video sidang akhbar selepas perlawanan kepada media Malaysia: “Seperti diduga kami disaingi sengit Laos namun saya menganggapnya satu perkara yang baik.

“Cukup bertuah kami dapat kemenangan ini selepas kekal dengan perancangan awal manakala corak permainan babak kedua pula tidak banyak berubah,” kata warga Australia ini.

Azfar pula menyifatkan permainannya bagus hari ini apatah lagi kerana mampu menyesuaikan diri dalam keadaan cuaca sejuk dengan suhu 9 darjah Celsius di Ulaanbaatar.

“Kemenangan ini untuk pasukan dan penyokong kami serta hadiah buat rakyat Malaysia,” kata perantara Terengganu FC II berusia 21 tahun ini.- BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply