KUALA LUMPUR -Pasukan penyiasat SPRM dikatakan telah mengenal pasti sebanyak kira-kira 337 syarikat, persatuan, NGO yang telah diluluskan geran peruntukan MITRA sejak tahun 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah lebih kurang RM203 juta.

Menurut sumber, pasukan itu kini sedang meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA dari tahun 2019 hingga 2021.

Sumber menjelaskan, peruntukan paling tinggi yang diluluskan oleh MITRA ialah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta.

Peruntukan itu diluluskan kepada kira-kira 205 syarikat, persatuan dan NGO. Daripada jumlah tersebut, terdapat 8 syarikat memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta.

Difahamkan pasukan penyiasat mempunyai kekangan untuk menyiasat kesemua kira-kira 337 program yang telah disalurkan peruntukan. Justeru itu, pendekatan memberikan fokus kepada peruntukan melebihi 1 juta akan dibuat pada masa ini.

Sumber memberitahu, dipercayai tumpuan siasatan SPRM ialah berhubung dua fasa di mana Fasa 1 memberi tumpuan kepada kira-kira 27 buah syarikat, persatuan, NGO yang telah menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Manakala Fasa 2 pula SPRM akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas kira-kira 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta.

Katanya, bagi penerima geran peruntukan di bawah RM1 juta, pasukan penyiasat telah mengenalpasti syarikat-syarikat tersebut dan pasukan khas yang dibentuk antara SPRM dan KPN akan memanggil semua yang terlibat untuk mereka membuktikan bahawa semua geran yang diterima telah dibelanjakan sebagaimana yang permohonan.

Tambah sumber, setakat hari ini 28 Oktober 2021, seramai 18 orang pengarah syarikat telah ditahan bagi membantu siasatan. Difahamkan lebih ramai akan ditangkap memandangkan fokus tumpuan pasukan penyiasat di Fasa 1 ini ialah terhadap penerima-penerima geran bernilai RM1 juta lebih. Di mana jumlah yang telah dikenalpasti ialah kira-kira 27 syarikat , persatuan , NGO.

Sumber turut memaklumkan, daripada 10 syarikat yang disiasat setakat ini,  didapati 80 peratus daripadanya telah menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi.

— BebasNews

 

Please follow and like us:

Leave a Reply