TP1B lancar agihan sarapan dan makan malam

0
164
Gambar atas: ZAINI Hassan dan Prof Dr Azizan Abdullah (kiri) mengedarkan bungkusan sarapan kepada pelajar UiTM Shah Alam selepas melancarkan program agihan makanan di Kolej Kediaman Delima 2, Shah Alam, semalam. – Foto PAUiTM

 

SHAH ALAM — Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B), yayasan kendalian alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan agihan sarapan dan makan malam kepada pelajar universiti itu, semalam.

Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan, berkata program kebajikan itu akan dijalankan secara berterusan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.

Katanya, program `Ingatan Abang-Abang Alumni kepada Adik-Adik UiTM’ itu bertujuan mendekatkan hubungan kedua-dua pihak.

“TP1B memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk tujuan ini dan sebanyak RM50,000 untuk tujuan derma siswa kepada pelajar yang memerlukan bantuan.

“Kami juga pernah mengalami suasana yang sama seperti dihadapi oleh semua pelajar. Kita bukan sama, ada yang senang, ada yang susah,” katanya pada majlis yang diadakan di Kolej Kediaman Delima 2 UiTM, di sini.

Hadir sama, Naib Canselor HEP, Prof Dr Azizan Abdullah, pengurus-pengurus kolej kediaman, alumni dan pelajar.

Zaini berkata, aktiviti seperti ini diharapkan akan disambut oleh semua pihak yang mengenal erti sentimental dengan institusi pengajian itu.

Beliau juga mencadangkan kolej kediaman atau asrama di universiti itu mengikut jejak kolej kediaman Universiti Malaya (UM) yang menjadikan kolej kediaman mereka sebagai tempat sesuatu yang cukup diingati.

Di UM, katanya, ada Kolej Kediaman 1 hingga 12 dan bekas penghuni setiap kolej itu membuat majlis makan malam elit setiap tahun bagi mengumpul dana kebajikan dan disalurkan kembali kepada kolej kediaman itu.

“Selain universiti dan fakulti kita, asrama kediaman tempat kita rehat, tidur, mandi adalah juga sesuatu yang sangat diingati.

“Budaya ‘home-coming’ seperti ini perlu diterap pada asrama Kolej Kediaman Delima, Seroja, Cempaka, Teratai, Perindu dan di sistem UiTM seluruh negara,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/04/557753/tp1b-lancar-agihan-sarapan-dan-makan-malam
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here