Mohd. Rozaman Yahya menunjukkan buah kurma yang dihasilkan dari pohon kurma hibrid, di Pekan Nanas, Pontian, Johor, baru-baru ini. - Foto Utusan/MOHD. HAZROL ZAINAL
(GAMBAR) Mohd. Rozaman Yahya menunjukkan buah kurma yang dihasilkan dari pohon kurma hibrid, di Pekan Nanas, Pontian, Johor, baru-baru ini. – Foto Utusan/MOHD. HAZROL ZAINAL

 

APA SAJA bersama NAZERI NONG SAMAH

Rasulullah SAW biasanya berbuka puasa dengan rothb (kurma basah) sebelum menunaikan solat. Jika tidak ada rothb, maka baginda berbuka puasa dengan tamar (kurma kering). Dan jika tiada yang demikian, baginda berbuka dengan seteguk air.

SEMPENA bermulanya ibadat puasa pada 1 Ramadan 1440 (H) bersamaan Isnin 6 Mei 2019 ini, maka eloklah ruangan ini menceritakan perihal 1001 khasiat makan buah kurma yang mempunyai rasa manis semula jadi itu.

Ini kerana makan buah kurma begitu sinonim kepada umat Islam ketika berbuka puasa, sedangkan ianya berkhasiat untuk dimakan pada setiap hari dalam jumlah tertentu bagi mendatangkan kesihatan individu.

Makan buah kurma juga sering dikaitkan dengan makanan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW (Rasulullah SAW) ketika berbuka puasa kerana terkandung 1001 zat tersembunyi dalam buah tersebut bagi memberi tenaga secara semula jadi setelah seharian berlapar dahaga.

Buah kurma dikatakan mempunyai tindak balas ‘metabolisme’ yang cepat menyerap dalam tubuh manusia bagi memulihkan tenaga, berbanding dengan makanan lain.

Ada riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah SAW tidaklah makan terlalu banyak buah kurma, yang memadai dalam jumlah ganjil iaitu tiga ulas sahaja, kemudian meneguk air putih, lalu menunaikan solat maghrib.

Hadis riwayat Abu Daud pula menyebut: “Rasulullah SAW biasanya berbuka puasa dengan rothb (kurma basah) sebelum menunaikan solat. Jika tidak ada rothb, maka baginda berbuka puasa dengan tamar (kurma kering). Dan jika tiada yang demikian, baginda berbuka dengan seteguk air.”

Adapun diriwayatkan bahawa kurma Ajwa yang juga dikenali sebagai ‘kurma nabi’ berukuran kecil dan berwarna hitam adalah buah kurma kegemaran Rasulullah SAW.

Begitulah gambaran betapa sederhananya gaya hidup Rasulullah SAW ketika berbuka puasa kerana tidak makan terlampau banyak, berbanding dengan perbuatan sesetengah golongan kita makan sehingga senak perut dan terasa sukar untuk sujud ketika solat.

Menghuraikan selanjutnya akan kelebihan buah kurma ini, maka dalam al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut mengenai kurma, termasuk sebagai makanan berkhasiat kepada kesihatan manusia.

Umpamanya Allah SWT menurunkan wahyu dalam Surah Maryam ayat 25 yang bermaksud: “Dan goyanglah pohon kurma itu, nescaya dijatuhkannya kepada engkau buah yang masak.”

Penjelasan ayat tersebut ialah Allah SWT memerintahkan agar Saidatina Siti Maryam r.a. iaitu ibu kepada Nabi Isa a.s. yang mengandung dan melahirkan anaknya itu supaya memakan buah kurma yang memberi banyak khasiat kepada kesihatan.

Ini bersesuaian dengan keadaan Saidatina Siti Maryam r.a. ketika itu perlu makan buah kurma yang berkhasiat bagi memberi tenaga kepadanya selepas bersalin untuk memulihkan kesihatan.

Ada juga kajian saintifik memperakui bahawa makan buah kurma amat baik kepada ibu yang mengandung agar pertumbuhan janinnya subur dan bakal melahirkan bayi yang sihat. Manakala bagi ibu yang melahirkan anak pula sesuai memakan kurma bagi menggalakkan peningkatan susu yang berkualiti untuk keperluan bayinya.

Kajian saintifik juga menyebut bahawa kurma kaya dengan kandungan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, mineral semula jadi, vitamin A dan C.

Zat besi dan kalsium menjadi pemangkin kepada pembentukan susu bagi ibu yang menyusukan bayinya. Kalsium pula sering dikaitkan dengan keperluan bagi membantu pertumbuhan gigi dan kekuatan tulang dalam tubuh manusia.

Kandungan zat semula jadi seperti protein, serat, mineral dan gula ternyata sudah terhimpun dalam setiap ulas buah kurma tanpa perlu lagi mencari sumber ‘makanan tambahan kesihatan’ lain.

Malah yang lebih ekstrem pula ialah amalan makan buah kurma didakwa boleh membantu kekuatan tenaga seksual menerusi kaedah mengisar dan mencampurkan bersama susu dan herba lain sebagai minuman harian.

Berbagai lagi kelebihan kurma turut diperakui sebagai makanan untuk mencegah strok, sakit jantung, membantu diet, melancarkan darah dan seumpamanya lagi terkandung dalam 1001 khasiat tersembunyi yang Allah SWT cipta bagi keperluan setiap hamba-Nya.

Berkait dengan buah kurma sebagai sumber perubatan, maka riwayat oleh Aisyah r.a. menyebut: “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

Kini bukan sahaja isi buah kurma yang dimanfaatkan, malah sudah terdapat usaha menggunakan biji kurma yang dikisar menjadi serbuk sebagai ramuan dalam kopi campuran kerana pengusaha percaya bahawa komponen kurma tersebut mempunyai khasiat tersendiri.

Seperti yang diketahui umum bahawa pohon kurma dalam spesies palma dengan nama sintifik ‘phonex dactylifera’ lazimnya tumbuh di kawasan padang pasir beriklim panas terutama di Arab Saudi, Mesir, Iran, Iraq, Algeria, Tunisia, Oman dan Afrika Selatan. Selain itu kurma juga terdapat di California (Amerika Syarikat), Mexico, Itali dan Sepanyol, malah Israel turut menjadi pengeksport komoditi tersebut.

Antara nama buah kurma yang popular terdapat di kelompok negara Arab ialah Ajwa, Segae, Sefri, Safawi, Shaishee, Shahal, Shebebi, Miskani, Majhool, Mabroom, Qatarah, Ghur, Anbara, Wannana, Hailali, Nabtat Ali, Nabtat Seif, Nabtat Sultan, Meneifi dan Maktomi. Daripada jumlah nama tersebut menyaksikan kurma Ajwa paling mahal harganya kerana ia diriwayatkan sebagi ‘kurma nabi.’

Sejak akhir zaman ini, kurma tidak lagi menjadi tumbuhan ikon kepada kelompok negara Arab kerana ia juga boleh hidup subur dan berbuah lebat di negara beriklim Khatulistiwa yang lain.

Umpamanya di Aceh, Indonesia sudah wujud ladang kurma yang mempunyai sebanyak 3,000 pohon tersebut ditanam, sekali gus menghasilkan buah yang lebat dan tidak kalah dari segi kualitinya jika dibandingkan dengan produk dari negara Timur Tengah.

Pengusaha Indonesia memperoleh inspirasi penanaman kurma secara komersial setelah melihat pohon tersebut kebanyakannya ditanam sebagai hiasan di pekarangan beberapa buah masjid sekitar Pulau Jawa dan Sumatera didapati hidup subur serta berbuah lebat, terutama menjelang Ramadan pada setiap tahun.

Di Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia pula menyaksikan kebun kurma seluas 3.7 hektar dijadikan lokasi tarikan pelancong yang mula dibuka kepada kunjungan umum pada 1 Januari 2017. Menurut pengusahanya, HM Roeslan, beliau mendapat inspirasi membuka kebun kurma itu setelah melihat kebun tanaman yang sama ketika berkunjung ke Thailand.

Bagi Malaysia pula, kebanyakan pohon kurma yang dijadikan landskap sekitar bandar Kota Bharu, Kelantan sejak 2014 hidup subur dan berbuah lebat turut memberi inspirasi setahun kemudian kepada pengusaha di negeri tersebut untuk menanam kurma secara komersial menerusi ladang seluas lebih 300 hektar di Cherang Tuli (Pasir Puteh) dan Ulu Sat (Machang).

Bagaimanapun tidak diketahui perkembangan selanjutnya mengenai kemajuan ladang kurma di Kelantan itu kerana ia terus senyap begitu sahaja, apatah lagi negeri berkenaan kerap dilanda bencana alam khususnya banjir besar yang boleh menjejaskan banyak jenis tanaman penduduk.

Selain itu di Kampung Teras, Binjai, Kota Bharu, Kelantan, dilaporkan seorang petani bernama Mohd. Zain Mohamad, 59, selepas 18 tahun menaman 50 pohon kurma dalam kawasan seluas 0.2 hektar bukan sahaja berjaya menuai hasil buahnya pada 2018, malah tanamannya itu juga mampu mengeluarkan air manisan nira yang lebih enak, berbanding dengan nira kelapa, kabung dan nipah.

Sepanjang bulan puasa ini kita lihat banyak lambakan jualan buah kurma import di pasar raya, kedai runcit, pasar malam atau bazar Ramadan dijual dalam bentuk yang dibungkus dalam kotak, selain ‘dalam bekas terbuka’ dan boleh dibeli mengikut sebanyak mana keperluan pembelinya.

Terdapat juga di sesetengah tempat menjual buah kurma muda berwarna kuning yang tidak ramai penggemar kerana rasanya kelat melekat dalam kerongkong seperti rasa buah ciku separuh masak.

Meskipun buah kurma kering dianggap sebagai ‘makanan istimewa,’ tetapi aspek kebersihan juga wajar diberi keutamaan oleh para pengguna kerana produk import itu kerana ia terdedah kepada kekotoran terkena najis burung, bulu burung, habuk, pasir dan seumpananya lagi ketika dijemur.

Justeru baru-baru ini tular dalam media sosial mengenai pesanan supaya pengguna berwaspada ketika makan buah kurma, lantaran kebanyakan ladang buahnya di negara Arab diserang oleh kelawar pembawa virus yang berbahaya kepada kesihatan pemakannya.

Pesanan dalam media sosial itu mengingatkan kepada para pengguna yang membeli buah kurma import agar membasuh dengan bersih terlebih dahulu buah itu sebelum dimakan.

Penulis juga berpengalaman melihat buah kurma yang tidak bersih, terutama yang dijual murah dalam guni kelihatan kemek serta melekat seperti asam jawa itu kerap mempunyai kekotoran berpasir, selain terdapat bulu burung, najis burung, habuk, kayu dan batu, maka basuhlah kurma sebelum memakannya.

Selain itu beberapa tahun lalu, penulis juga pernah menerima buah tangan daripada rakan yang baru pulang daripada mengerjakan ibadat umrah di Tanah Suci Mekah menghadiahkan buah kurma, tetapi setelah diteliti dengan cermat, terdapat banyak bulu burung pada buah tersebut, lalu penulis membasuhnya dengan bersih sebelum disuap ke mulut.

Malas pula penulis hendak bertanya kepada pemberi buah tangan itu sama ada buah kurma tersebut dibeli di Mekah atau Madinah?

Semoga dalam bulan Ramadan yang mulia ini, sama-samalah kita membaca ‘bissmillah hirahman nirahim’ sebelum menyuapkan ke dalam mulut ketika berbuka puasa hingga bersahur dengan makanan yang suci bersih lagi halal agar beroleh keberkatan daripada Allah SWT…!

PENAFIAN : Tulisan ini merupakan pendapat penulis dan tidak mencerminkan pandangan serta pendirian BebasNews.my

— BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here