KUANTAN — Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) sudah menyiapkan kertas kerja berkaitan cadangan pemberian elaun kepada penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang akan dikemukakan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pihaknya akan berusaha untuk memastikan cadangan pemberian elaun ini diluluskan dan dimasukkan dalam Belanjawan tahun depan yang akan dibentangkan bulan Oktober ini.

“Majlis Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersidang untuk kali kedua pada Februari lalu dan melalui mesyuarat itu, MVK meluluskan kertas kerja berkaitan cadangan ini (pemberian elaun kenangan) kepada semua penerima PJM.

“Elaun ini diberikan secara bulanan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang sanggup berkorban menentang pengganas komunis dan berdasarkan rekod yang kita ada, terdapat kira-kira 60,000 bekas pegawai dan anggota kita yang layak menerima PJM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Pahang di Dewan Al-Haimi, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 310 veteran ATM dari negeri ini menerima pingat dan 19 persatuan veteran menerima bantuan kewangan daripada Kementerian Pertahanan.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Sementara itu, mengulas mengenai Bantuan Harapan Negara (BHN) 2019 yang sudah diluluskan Kabinet, Mohamad berkata, pembayaran akan mula dibuat pada 27 Mei ini kepada 159,368 penerima.

Katanya, pengagihan BHN ini membabitkan peruntukan berjumlah RM79.68 juta dan ia diharap dapat membantu meringankan bebanan veteran ATM dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan awal bulan Jun.

-Berita Harian
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here