Nissa rahsia tarikan minati Sabyan Gambus

0
434
Gambar atas: Nissa Sabyan

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

 

Kumpulan Sabyan Gambus yang kerap mengadakan persembahan di serata daerah Indonesia berkata, Malaysia merupakan negara luar kedua yang mereka singgah selepas mengadakan persembahan di Hong Kong pada September lalu.

Kumpulan yang kini popular dengan lagu Deen As Salam itu dianggotai Khoirunnisa Komarudin atau Nissa sebagai vokalis utama, Ahmad Fairuz atau Ayus (keyboard), Sofwan Yusuf atau Wawan (perkusi), Kamal (darbuka), Tubagus Syaifulloh atau Tebe (biola) dan Anisa Rahman (penyanyi latar).

“Kami bersyukur kerana muzik Islamik yang kami bawa ini diterima ramai kerana kita semua sedia maklum irama sebegini agak sukar untuk diterima oleh anak muda.

“Siapa sangka kami yang bermula di majlis perkahwinan, boleh berada di kedudukan sekarang.

“Niat kami adalah untuk mengajak generasi muda mendekati Islam dan muzik Sabyan Gambus berjaya menembusi tembok itu. Syukur kehadrat Illahi, ” kata Ayus yang bertanggungjawab mengumpul semua anggota untuk bernaung di bawah nama Sabyan Gambus.

Malah, Ayus juga tidak menolak dakwaan apabila ada yang berkata populariti kumpulan tersebut disebabkan oleh Nisa, remaja berusia 19 tahun itu.

“Ya benar, Nissa merupakan tarikan untuk orang ramai meminati Sabyan Gambus. Mungkin disebabkan suaranya atau wajahnya yang cantik itu kerana setiap orang ada pandangan tersendiri.

“Sejak ditubuhkan pada 2015, kami tidak ada masalah biarpun tumpuan diberikan kepada Nisa kerana dia lebih senang bergerak sebagai sebuah kumpulan dan bukan individu,” jelas Ayus.

Konsert Sabyan Gambus Live In Malaysia 2019 bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 12 Januari depan.

Selain mengadakan konsert di sini, kata Ayus, Sabyan Gambus juga bercadang untuk melancarkan single keempat mereka pada malam tersebut.

Tambah Ayus, single ketiga mereka baru saja dilancarkan di Indonesia sempena sambutan Hari Ibu dan sebelum ini mereka tampil dengan single Ya Maulana dan Allahhumma Labaik.

“Untuk mengekalkan kedudukan sekarang, kami perlu mengatur strategi iaitu setiap bulan mesti ada single baharu.

“Setakat ini Alhamdulillah, kami banyak menerima undangan dan jadual persembahan kami sudah ditempah sehingga Ogos tahun hadapan. Jika ada kesempatan kami masih lagi terima undangan di majlis perkahwinan,” katanya tersenyum.

Sementara itu, Nissa yang merupakan anggota paling muda dalam kumpulan tersebut berkata, meskipun sering menjadi perhatian ramai tapi dia tidak pernah rasa bangga diri.

Baginya segala kejayaan yang diraih adalah atas kerjasama anggota Sabyan Gambus dan buka kerana dia seorang.

“Sejak dulu lagi saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi penyanyi solo kerana saya lebih selesa menyanyi dengan iringan pemuzik berbanding menggunakan minus one.

“Tawaran untuk saya buat single solo tidak pernah putus. Begitu juga dengan tawaran berlakon atau komersial tapi saya tidak berminat kerana lebih selesa bergerak secara berkumpulan,” katanya ikhlas.

Dia yang enggan muncul solo namun menyimpan hasrat untuk berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza jika ada peluang.

Sebelum ini Sabyan Gambus pernah berkolaborasi dengan Melly Goeslow, Armand (vokalis Gigi) dan Gita Gutawa.

Bagi yang mahu menonton konsert Sabyan Gambus boleh dapatkan tiket-tiket yang berharga antara RM229 hingga RM999.

Tiket telah dijual dan bagi pembeli awal sebelum 30 Disember ini, anda berpeluang mendapat diskaun RM100 bagi setiap kategori tiket.

Selain itu, pembeli awal juga berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah Iphone XS dan tiker-tiket boleh dibeli di www.ticket2u.com.my/konsertsabyan2019.

 

-BebasNews

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here