Rujuk Dahulu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)

1
390

Oleh IDRIS JUSOH

PADA era baru ini pelbagai pihak telah memberi pandangan tentang pendidikan tinggi negara. Bagi saya keadaan ini adalah lumrah kerana pendidikan tinggi adalah satu bidang yang mustahak dan memain peranan penting dalam menentukan masa depan negara. Bidang ini juga amat penting dalam menjamin masa depan seseorang.

Seorang mantan Timbalan Perdana Menteri pernah memberitahu saya, kita akan sentiasa mendengar jutaan pandangan tentang pendidikan, dan setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara.

Antara perkara yang kerap kali dibangkitkan adalah berkaitan pentingnya sistem pendidikan dalam melahirkan pelajar yang tidak terlalu berorientasikan akademik. Tujuannya adalah untuk menangani isu-isu semasa graduan khasnya berkaitan dengan amalan pemikiran yang sempit dan pengangguran golongan tersebut.

Ada juga pihak tertentu yang menuding jari menyalahkan kita yang dikatakan terlalu memberi kepentingan kepada penyertaan universiti ke dalam sistem ranking.

Teguran dan kritikan ini dilemparkan bukan sahaja dalam kalangan orang ramai dan ahli akademik, bahkan ia juga turut dikemukakan oleh golongan pegawai tinggi kerajaan.

Akan tetapi, rata-rata dalam kalangan mereka ini tidak sedar bahawa kerajaan sejak tahun 2015 telah memperkenalkan satu pelan yang dipanggil Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) [PPPM(PT)]. Ia telah disempurnakan sendiri oleh mantan Timbalan Perdana Menteri ketika itu yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PPPM (PT) merupakan satu pelan pendidikan tinggi negara yang cukup lengkap. Ia telah mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan mencakupi penglibatan semua golongan berkepentingan contohnya orang ramai, pelajar, belia, para sarjana, cendekiawan, profesional dan sebagainya.

Penyediaan pelan ini juga melibatkan badan-badan antarabangsa yang diiktiraf dunia seperti Bank Dunia, OECD, UNESCO, U21 yang berperanan dalam memberi pandangan dan idea bernas untuk menambah baik pelan tersebut. Turut diambil kira ialah peranan media massa termasuk media sosial yang menyalurkan banyak memorandum yang cukup baik dalam menjayakan pelan ini.

Tidak ketinggalan juga beberapa siri perjumpaan bersemuka town hall yang turut diadakan di beberapa bandar besar bagi memastikan pelan ini menjadi pelan pendidikan tinggi terbaik pernah dihasilkan dalam negara.

Badan penasihat bebas juga turut dilantik. Antara ahli-ahli badan penasihat bebas tersebut termasuklah Tan Sri Wan Zahid, Prof Emeratus Tan Sri Dr. Kamal Hassan, Prof Tan Sri Dzulkifli Razak, Tan Sri Tony Fernandaz, Tan Sri Dr Jeffery Cheah, Tan Sri Azman Mokhtar, Prof Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah, Tan Sri Zarinah Anwar, Prof Rejendran A/L Nagappan dan beberapa orang pakar pendidikan tersohor yang disegani dalam negara.

Tidak cukup dengan itu, turut diperkenalkan juga ialah ahli jawatankuasa bebas antarabangsa yang dianggotai oleh mantan Menteri Pendidikan Korea, Dr Byong Man Ahn; dari Kanada, Prof Micheal Fullon; dari NIE Singapura, Prof Sing Long Lee dan dari OECD iaitu Dr Andreas Schleicher.

Laporan pelan ini juga dibuat dengan kerjasama Mckenzie, iaitu pakar pendidikan antarabangsa yang diiktiraf dunia.

Melalui PPPM (PT) ini, ia telah menggariskan sepuluh (10) lonjakan utama untuk dilaksanakan. Lonjakan pertama adalah bagi melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang. Perkataan holistik dan seimbang telah dipilih dengan teliti kerana ia merupakan aspirasi penting pendidikan tinggi negara.

Graduan perlu melengkapkan diri secara menyeluruh untuk menongkah cabaran hidup. Mereka juga perlu diseimbangkan dengan dunia dan akhirat, serta menjadi individu yang memenuhi harapan keluarga dan juga masyarakat.

Lonjakan kedua adalah untuk memastikan pensyarah mempunyai bakat yang setimpal antara akademik, pengurusan, profesional dan penyelidikan.

Lonjakan seterusnya termasuklah memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hidup (PSH), pendidikan vokasional dan teknikal (TVET), pengurusan kewangan, tadbir urus, inovasi, keunggulan global, pengajian atas talian dan transformasi sistem pendidikan.

Jelas sekali keunggulan global (ranking) merupakan tonggak kelapan dalam pelan ini, bukan yang pertama. Walau bagaimanapun, ia tetap dianggap penting kerana dengan adanya tanda aras sebegini, barulah kita mengetahui di mana kedudukan kita sebenarnya.

Universiti-universiti ternama seperti Oxford, Harvard dan Cambridge jelas telah lama meletakkan diri mereka di atas tanda aras tersebut. Dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) juga jelas meletakkan sasarandua buah universiti di negara kita berada di kalangan 50 terbaik di dunia.

Oleh yang demikian, adalah amat penting bagi kita menyedari bahawa kita sudah mempunyai satu pelan pendidikan tinggi negara yang lengkap dan telah digubal dengan baik sebelum ini.

Adalah menjadi harapan saya agar setiap orang yang ingin menilai pendidikan tinggi negara perlu merujuk pelan ini terlebih dahulu.

– BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

  1. Eloklah Menteri Yb Mazlee baca dulu PPPM ni sebelum buat kenyataan2 yg kelakar berkaitan warna kasut, stoking, kolam mandi dll..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here