Wings mulakan ‘langkah’ 2019 di Nilai

0
917

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

Wings akan muncul di Konsert Ambang 2019 di Dataran Perbandaran Nilai, Negeri Sembilan pada 31 Disember ini.

Konsert anjuran Majlis Perbandaran Nilai sempena menyambut kehadiran tahun 2019 akan berlangsung selama tiga jam bermula pada pukul 9 malam.

Dijangka 6,000 orang akan memenuhi ruang dataran berkenaan untuk memeriahkan Konsert Ambang 2019 yang diadakan secara percuma.

Selain konsert beberapa acara dan program menarik akan berlangsung di dataran berkenaan selama tiga hari bermula pada 29 Disember mulai 10 pagi sehingga 12 tengah malam sebagai meraikan Ambang 2019.

Di samping Wings, turut menghiburkan para penonton di konsert itu nanti ialah Datuk Hattan, Syamel, Rabbani dan Ara Johari.

Bagaimanapun Wings sebagai artis utama pada malam itu hanya akan muncul pada pukul 10.30 malam sehingga saat ‘countdown’ kehadiran 2019.

Datuk Awie akan menyanyikan 10 lagu popular Wings sebagai memeriahkan malam tersebut. Antara lagu pilihan Wings ialah Bujang Senang, Bernafas Dalam Lumpur, Opera Hidup dan sebuah lagu Inggeris akan dinyanyikan saat ‘countdown’ 2019.

“Alhamdulillah latihan saya bersama Wings sejak seminggu lalu di beberapa studio pilihan berjalan dengan baik bagi memastikan kepuasan penonton pada malam itu,” kata Awie.

Bagi Awie, sebagai sebuah kumpulan rock yang telah mewarnai dunia seni melebihi tiga dekad, persembahan malam itu amat penting sebagai pembuka tirai 2019.

“Walaupun sudah lama di persada seni, tetapi bagi kami setiap konsert itu adalah tanda aras dalam menentukan kelangsungan Wings pada kelasnya yang tersendiri,” kata Awie.

Tahun 2019 akan menyaksikan Wings muncul dalam beberapa siri konsert di seluruh negara yang telah diatur oleh Awie Entertainment Sdn. Bhd.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here