Keluarga tinggal rumah usang berdindingkan perca kain

0
26653
Gambar atas: Keadaan rumah Nora yang berdindingkan kain perca./ Foto: Syaherah Mustafa

 

“Sepanjang puasa ini, ada masanya kami berbuka dengan mengutip pucuk serta ulam-ulaman di sekeliling rumah untuk dijadikan lauk.”

 

RANTAU PANJANG — Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah gambaran kehidupan sebuah keluarga yang tinggal di kawasan pendalaman dengan rumah yang serba daif dan berdindingkan perca kain, di kawasan ladang sawit di Kampung Padang Bukit, di sini.

Bukan sahaja kawasan rumah mereka jauh daripada penempatan lain, malah untuk sampai ke ‘pondok’ usang mereka perlu berjalan kaki menyusuri ladang sawit sejauh 500 meter.

Siapa sangka, Nora Che Abdul Rahman, 34, dan suami, Ramli Jusoh, 37, sudah 14 tahun tinggal di kawasan itu bersama empat anak berusia lapan hingga 18 tahun.

Selain Nora sekeluarga, ibu, adiknya serta bapa saudaranya juga menetap di kawasan sama dengan jumlah enam pondok yang dibina sendiri dalam kawasan ladang terbabit.

Nora berkata, bagi mendapatkan sedikit keselesaan mereka membina enam pondok di kawasan itu untuk berteduh secara berasingan tetapi dengan jarak yang dekat termasuk untuk dua anaknya yang sudah berkahwin.

“Pondok ini kami bina sendiri menggunakan buluh, kayu hutan serta berdindingkan perca kain. Penempatan kami ini jarang diketahui kecuali penduduk kampung berhampiran kerana tersorok di tengah hutan dan ladang sawit.

“Kami mendapatkan bekalan air melalui air bukit manakala elektrik disambungkan di sebuah pondok milik individu yang sudi membantu kami di sini. Kami pernah tinggal bergelap dan hanya bertemankan cahaya pelita selama lima tahun sebelum mendapat bantuan elektrik.

“Laluan ke untuk masuk ke rumah sangat sempit dengan jalan yang berlubang malah ia akan menjadi lebih teruk ketika hujan. Air mencurah turun ke kawasan rumah dan jalan akan menjadi licin bukan sahaja tidak selamat untuk dilalui motosikal malah juga berjalan kaki,” katanya yang mengambil upah menoreh getah bersama suami untuk menyara kehidupan.

Nora berkata, jika tidak dapat menoreh punca pendapatan mereka akan terputus dan terpaksa menebalkan muka untuk berhutang bagi mendapatkan sesuap nasi.

“Kami terpaksa mencatu makanan dan jika ada rezeki dapatlah kami merasa ikan sungai yang dipancing anak saya. Jarang sekali kami dapat merasa makanan sedap seperti lauk ayam.

“Sepanjang puasa ini, ada masanya kami berbuka dengan mengutip pucuk serta ulam-ulaman di sekeliling rumah untuk dijadikan lauk.

“Memandangkan kawasan ini dikelilingi hutan dan ladang sawit, rumah kami banyak kali dimasuki haiwan liar seperti ular berbisa atau khinzir,” katanya yang tidak pernah menerima bantuan kecuali daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce Rantau Panjang, yang bertanya khabar dan menghulurkan bantuan kewangan serta makanan.

Mengulas lanjut, Nora berkata, dia dan keluarga juga terpaksa menahan sejuk jika hujan kerana pondok mereka akan dimasuki air kerana akibat atap bocor dan dinding berlubang.

“Kami tiada tanah dan memang tidak mampu untuk menyewa rumah menyebabkan kami terpaksa memberanikan diri tinggal di dalam

ladang sawit,” katanya.

Sementara itu, Penggerak Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar, berkata pihaknya kan cuba membantu keluarga terbabit selain turut mendaftarkan anak-anaknya di bawah Anak Prihatin Thirdforce.

“Pihak kami akan memberi sumbangan baju raya serta membantu sebaik mungkin supaya nasib mereka ini terbela,” katanya.

-http://bit.do/harianmetro-rumah-usang-miskin

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here