[SELAK] Kembali ke ‘reban’

1
385

 Tahniah kepada Ahli Parlimen UMNO (APU) yang melakukan lompatan meninggalkan parti itu kemudiannya berjaya melepasi tapisan untuk menyertai Bersatu. Begitu juga ketua-ketua bahagian, jawatankuasa dan yang lain. Syukurlah bagi yang sudah ‘disucikan’. Yang belum lulus tapisan, bersabarlah. Masih ada masa untuk mengemukakan permohonan bukan saja menyertai Bersatu tetapi juga PKR, Amanah, Warisan. Tetapi bukan DAP kerana DAP tidak berminat dengan APU, mungkin mereka sudah kuat berbanding Bersatu dan Amanah. DAP juga menganggap APU yang melompat sebagai sampah, maksudnya jika dirujuk kepada kamus DBP, sampah adalah sesuatu benda yang dibuang atau tidak digunakan lagi. Tetapi APU bukan dibuang! Sebaliknya habis madu sepah dibuang.

Geng APU yang keluar UMNO boleh menarik nafas lega kerana sudah meninggalkan parti yang banyak jasa kepada mereka. Peduli apa orang kata kerana ramai lagi termasuk mentor mereka juga bukan lagi anggota UMNO. Bezanya yang lain tinggalkan UMNO lebih awal, bukan ketika dalam kesusahan. Biarlah orang menggelarkan mereka katak atau beruk tetapi yang penting mereka lebih awal ‘menyelamatkan diri’ daripada terus berada di atas bahtera yang dikatakan menunggu masa untuk tenggelam. YB APU yang menang atas nama UMNO, hasil kerja kuat jentera UMNO, peruntukan UMNO bebas meninggalkan parti itu dengan pelbagai alasan yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Mereka berhutang budi dan juga tenaga, wang dan fikiran jentera UMNO tetapi tidak apa, hutang itu tidak seperti hutang PTPTN. Terjunlah, berenanglah ke mana-mana daratan atau menumpang bahtera lain yang ada di ’lautan politik’. Itu pun jika tidak dibaham jerung. Cuma renung balik pelbagai pandangan nakhoda dan anak-anak kapal bahtera lain khususnya PKR terhadap aksi lompatan itu.

Apa pun risiko melompat ini, matlamat mereka sebenarnya pelbagai. Adakah mereka berasa tidak selamat berada di atas bahtera lama yang memangnya sudah berusia, mungkin boleh pecah atau dipecahkan? Ibarat rumah, UMNO semakin usang, boleh roboh atau dirobohkan jika tidak diurus dengan baik. Namun masih ramai yang yakin dengan UMNO. Maknanya boleh diperbaiki. Mungkin mereka ini tidak ada jawatan, hanya akar umbi yang bekerja keras memenangkan APU semasa PRU lalu. Mereka ini umpama tiang-tiang kayu yang masih kukuh, kalis anai-anai yang boleh mereputkan semangat mereka. Jika mereka tergolong dalam kumpulan APU belum tentu pendirian mereka. Mungkin juga akan menjadi ‘katak dan beruk’.

Golongan APU mempunyai pelbagai alasan untuk mewajarkan lompatan. Jika diamati alasan itu, jelaslah AP atau wakil rakyat kerajaan (DAP, PKR, Amanah) lebih kuat pendirian mereka walaupun sudah berpenggal menjadi pembangkang. Selak balik sejarah pilihan raya umum (PRU) sebelum ini. Berapa ramai daripada mereka termasuk AP Pas yang melompat kepada kerajaan BN atas alasan mahu menjaga kepentingan pengundi di kawasan? Benarkah selama ini mereka begitu selesa dengan ‘dedak’ yang ditabur di luar ‘reban’ ? Hari ini tiba-tiba dedak itu hilang dan ‘mereka’ kelaparan? Tidak sanggup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak pasti sama ada tindakan APU itu satu strategi berpolitik. Justeru biarkan mereka menyusun langkah. Biar masa yang akan menentukan.

Bagi UMNO, sekarang masa untuk bangkit semula. Cukuplah tujuh bulan berlalu. Eloklah menjelang tahun 2019, UMNO dapat melakukan pemulihan dan pemutihan, menahan ‘pendarahan’ yang berlaku. Bagi mereka yang dulunya pernah bergelar pemimpin tetapi tewas di gelanggang PRU, pemilihan cawangan dan bahagian atau di peringkat Majlis Tertinggi (MT) cukuplah tempoh ‘berduka’ atau ‘berbulan madu’. Buang sikap kecewa, merajuk, bebal, marah, geram dan macam-macam lagi selepas tewas. Jangan ‘cuci tangan’ dan membiarkan UMNO terhoyong-hayang. Kembalilah ke ‘reban’ biar pun kian ‘usang atau mahu roboh’ kerana mungkin di sana masih ada ‘sisa-sisa makanan’. Jangan terlalu mengharapkan ‘dedak’ di luar sana kerana takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Biarlah seperti ayam tidur senang di dalam reban, musang yang susah beredar sekeliling.

Masih banyak yang boleh dilakukan untuk terus hidup. Diharapkan ‘peralihan’ yang berlaku di peringkat MT UMNO dapat dimanfaatkan untuk mengumpul semula kekuatan. Kekuatan itu perlu datang dari segenap sudut termasuk bekas pemimpin yang pernah bersama di peringkat MT, exco Pemuda, Wanita dan Puteri. Jangan terlalu cepat cuci tangan setelah tidak ada jawatan atau tidak lagi menjadi kerajaan. Jangan seperti enau di dalam belukar. Dalam politik, lumrahnya begitu. Teman ketawa senang dicari tetapi teman berduka amat sukar. Dulu mereka ini di hadapan pemimpin, pijak semut pun tak mati, lembut lidah dari gusi. Dulu merekalah pengampu, pembodek No. 1, mengiyakan apa yang tidak betul dan menafikan apa yang benar.

Bak kata orang, ketika itu bau peluh pun harum, kentut pun wangi. Dulu mereka juga yang ‘meludah’ pemimpin sebelah sana dengan pelbagai kecaman dan gelaran. Sekarang mereka jilat ludah itu. Tidak apa kerana menjilat kembali ludah sudah jadi lumrah demi kelangsungan nyawa politik. Golongan seumpama ini juga sebenarnya telah merosakkan parti tetapi apabila sudah rosak, mereka lebih awal cabut lari meninggalkan ‘reban’ dengan pelbagai alasan. Kadang-kadang jika diselak balik kata-kata mereka menjelang PRU, mereka seperti pelakon atau pelawak di atas pentas. Tetapi sekali lagi kita tidak tahu strategi sebenar atau percaturan mereka. Mungkin ada udang di sebalik batu yang boleh dimanfaatkan. Asal jangan tindakan itu umpama tikus membaiki labu atau menang sorak kampung tergadai.

UMNO perlu melakukan ‘pembersihan’. Data keahlian perlu dikemas kini. Lihat berapa ramai yang sebenarnya masih setia. UMNO tidak boleh hilang fokus , perlu konsisten menjalankan tanggungjawab. Turunlah ke akar umbi yang menjadi kekuatan parti. Jangan biarkan mereka terutama di kawasan YB APU dan Ketua Bahagian yang cabut lari terkapai-kapai atau berselerakan seperti anak ayam kehilangan ibu. Bawa mereka kembali ke dalam saf perjuangan bagi memenuhi slogan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Jangan sekadar nampak Bersatu. Benar UMNO sedang dihadapkan dengan tekanan dan cabaran sehingga mereka hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam hal ini kebersamaan dan kesetiaan tulus ikhlas seluruh anggota parti amat penting. Bertindak umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Biarlah mereka yang hanya nampak Bersatu pergi meninggalkan UMNO. Jika tindakan itu benar, UMNO perlu reda dan jika tindakan itu salah dan mengkhianati perjuangan parti, maka APU yang melompat boleh berfikir secara matang. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar, marahkan ketua kampung, satu kampung diamuknya. Jangan sampai lompatan mereka sekadar untuk menyelamatkan diri tetapi hakikatnya memberi kekuatan kepada pihak lain yang akhirnya boleh membawa padah kepada ‘alif, ba, ta’ kerana air tenang jangan disangka tiada buaya. Selamatkan agama, bangsa dan tanah air!

– BebasNews

Please follow and like us:

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here